AHLI keluarga mangsa ketika di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
AHLI keluarga mangsa ketika di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Pemandu jentera maut ketika melakukan kerja-kerja menggembur tanah menggunakan sebuah jentera pembajak di Tebuk Haji Musa, Titi Serong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, polis menerima laporan pada jam 7.15 malam.

Menurutnya, setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa terbaring di belakang jentera dan dalam keadaan ditutup kain.

"Siasatan mendapati mangsa, Hirmi Abdul Rahman, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat terkena jentera pembajak.

"Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tangan kirinya patah manakala kaki kanan hancur disyaki termasuk ke dalam jentera pembajak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, temubual bersama ahli keluarga mengesahkan mangsa seorang pesawah dan sering mengambil upah membajak di sekitar kawasan Titi Serong.

"Kebiasaannya mangsa memulakan kerja-kerja membajak pada awal pagi sehingga petang dan dijemput pulang isterinya.

"Semalam, ketika isterinya mahu menjemput suami pulang, dia mendapati mangsa dalam keadaan cedera parah dan meminta bantuan kakaknya menghubungi hospital.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal oleh pasukan perubatan," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 12:39 PM