CIKGU Atie (dua dari kanan) beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 di Pasar Malam Parit Buntar. -Foto L MANIMARAN
CIKGU Atie (dua dari kanan) beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 di Pasar Malam Parit Buntar. -Foto L MANIMARAN
Maiamalina Mohamed Amin


BAKI tiga hari untuk berkempen dimanfaatkan sepenuhnya calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Norsalewati Mat Norwani, 49, bagi mendekati seberapa ramai pengundinya.

Menggunakan slogan ‘Cikgu Atie, anak jati, tekad berbakti’, bekas pendidik itu aktif menyantuni mereka di sekitar kerusi ditandinginya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong di Parlimen Parit Buntar.

Dia mengakui sangat berpuas hati dapat bersemuka dengan pengundinya dan memperkenalkan diri.

“Saya senang menggunakan pendekatan konvensional iaitu bergerak rumah ke rumah dan bertemu di pasar malam atau di mana-mana program keraian kerana mahu mereka kenal siapa Cikgu Atie (nama pengenalannya).

“Sebelum ini hanya ibu bapa di sekolah saja kenal saya, orang lain mungkin tak kenal, jadi saya perlu aktif memperkenalkan diri kepada mereka.

“Insya-Allah, apabila mereka kenal saya, mereka akan suka saya,” katanya ketika ditemui berkempen di pasar malam Parit Buntar, malam tadi.

Menurutnya, lebih 70 peratus kawasan di DUN itu sudah dijelajahinya bersama jentera.

Norsalewati turut mengakui jadualnya sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sangat padat dan jauh lebih sibuk daripada jadual kerja guru.

Saya bekas guru bahasa Inggeris dan sebelum ini mengajar di SMK Sri Perak, di Parit Buntar. Jadual guru semua orang tahu memang padat, dari pagi membawa ke petang dengan macam-macam program sekolah dan kecemerlangan pelajar.

“Tapi jadual calon lebih padat daripada itu dan saya hanya rehat antara tiga ke empat jam sahaja sehari. Pakaian pun semua dalam kereta, bersiap di mana yang sempat saja.

“Namun saya bersyukur, suami sentiasa ada di sisi menemani saya kempen, begitu juga bapa saudara yang sanggup menjadi pemandu saya. Dikelilingi keluarga, membuatkan saya lebih selesa dan selamat,” katanya.

Ibu tiga anak itu gembira dapat mendekati rakyat kerana keinginan membantu mereka yang memerlukan sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.

Dia yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Buntar berharap dapat membantu lebih banyak lagi masyarakat yang memerlukan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 11:52 AM