POSTER tular mengenai pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh.
POSTER tular mengenai pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh.

Kuala Lumpur: Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh di Pahang yang dijadualkan berlangsung pada 21 April ini dibatalkan selepas menerima bantahan orang ramai sebaik poster program itu tular di media sosial, hari ini.

Penganjur program itu yang dikenali sebagai Uncle John berkata, penganjurannya dibatalkan selepas mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin politik.

"Pada mulanya, program itu diadakan sekadar suka-suka sahaja dan hanya membabitkan kumpulan karaoke kami bagi memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri nanti.

"Bagaimanapun, poster itu mula tersebar secara secara meluas di media sosial sehingga ke peringkat pihak berkuasa yang kemudian menghubungi saya supaya membatalkan program berkenaan," katanya menurut laporan MalaysiaGazette.

Terdahulu, satu poster memaparkan maklumat berkaitan acara itu yang bakal diadakan pada Ahad depan jam 9 malam di Taman Tasik Chatin Mentakab, Temerloh, tular di media sosial, hari ini.

Berdasarkan poster itu, penyertaan pertandingan terbabit dibuka kepada wanita berusia 20 tahun ke atas secara percuma dan 'walk-in'.

Difahamkan jamuan raya turut disediakan dan keputusan oleh juri adalah muktamad dengan hadiah ditaja oleh Uncle John serta seorang lagi penaja dikenali sebagai Mama Zana.

Sementara itu, Exco Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dipetik berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

Menurutnya, program itu tidak wajar sama sekali dilaksanakan di negeri itu.

"Bantah (pertandingan beragam). Bukan di kawasan saya (Kerdau). Tidak pernah ada kelulusan sedemikian.

"Sebab itu penganjur tak tanya saya, memang tidak akan setuju. Benda ni memang tak wajar," katanya dalam laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:34 PM