Shamsul Munir Safini


GURU muzik yang juga janda anak satu mendakwa dicabul kenalan di sebuah pusat membeli-belah di Prai, bulan lalu.

Dalam kejadian 5.50 petang, 6 Jun itu, wanita berusia 38 tahun berkenan menjadi juri bagi satu pertandingan nyanyian di pusat membeli-belah itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia dipanggil pihak penganjur untuk berbincang mengenai markah pertandingan yang diadilinya.

Katanya, mangsa dipanggil di lorong belakang dan mendapati suspek yang juga salah seorang juri ada bersama penganjur.

“Ketika penganjur sedang menulis di meja, suspek mendekati mangsa dan menyentuh dadanya beberapa kali.

“Mangsa menjarakkan diri daripada suspek dan menegur perbuatannya namun lelaki berkenaan menafikan perbuatannya sebelum beredar,” katanya.

Menurutnya, mangsa baru beberapa kali berjumpa suspek di pertandingan nyanyian.

Nik Ros Azhan berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis pada jam 6 petang 19 Jun lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 2:30 PM