ANUAR (kiri) melihat sebuah treler yang dirampas kerana disyaki menjual diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANUAR (kiri) melihat sebuah treler yang dirampas kerana disyaki menjual diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Pemandu treler ditahan ketika cuba memindahkan diesel bersubsidi dari sebuah treler ke dalam dua buah lori di sebuah premis di Bedong, di sini, hari ini.

Difahamkan, diesel berkenaan sepatutnya dihantar ke Kuala Kedah untuk kegunaan nelayan di kawasan itu.

Selain itu, polis turut menahan pemilik premis terbabit untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman @ Abd Rahim berkata, hasil siasatan mendapati treler itu dipercayai milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30-an itu.

Beliau berkata, serbuan itu adalah hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bermula jam 10.50 pagi hingga 1.40 petang hari ini.

"Sebaik tiba di premis itu, pasukan operasi mendapati, dua lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti memindahkan diesel dari treler terbabit ke dua buah lori.

"Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah lori yang diperiksa menemui cecair disyaki diesel anggaran isipadu 800 liter.

"Turut ditemui cecair disyaki diesel anggaran 2,100 liter, di dalam sebuah lagi lori," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, hari ini.

Anuar berkata, pemeriksaan lanjut dalam treler itu pula menemui cecair disyaki cecair disyaki diesel dianggarkan sebanyak 27,000 liter.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan subsidi di dalam ketiga-tiga kenderaan itu adalah 29,900 liter dengan nilai rampasan kira-kira RM 44,991.84.

"Kesemua barangan terbabit disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM149, 991.84," katanya.

Anuar berkata, pemandu treler milik PNK Kuala Kedah itu disyaki mengambil diesel subsidi terbabit dari di sebuah depoh minyak di kawasan Perai Pulau Pinang untuk dibawa ke PNK Kuala Kedah bagi kegunaan nelayan kawasan Kuala Kedah.

Beliau berkata, namun dalam perjalanan, pemandu terbabit dipercayai singgah di lokasi terbabit di Bedong untuk menjual diesel bersubsidi dengan bayaran RM250 bagi setiap 200 liter.

"Pemilik premis berusia 40-an itu mengaku membeli diesel subsidi terbabit daripada pemandu treler berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, kes akan diserahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 8:10 PM