SEBANYAK 32,752 liter diesel disita dalam dua rampasan berasingan iaitu di tapak pembinaan di Kuala Krai serta jeti Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO ihsan KPDN
SEBANYAK 32,752 liter diesel disita dalam dua rampasan berasingan iaitu di tapak pembinaan di Kuala Krai serta jeti Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 32,752 liter diesel dianggarkan bernilai RM66,991.60 dalam dua rampasan berasingan.

Sitaan pertama dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Krai pada petang kelmarin terhadap sebuah lori tangki berpendaftaran tempatan.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, dalam serbuan pada 5 petang itu, pihaknya mendapati berlaku aktiviti membekalkan barang kawalan minyak diesel kepada orang ramai tanpa lesen di tapak pembinaan berkenaan.

"Turut ditahan pemandu lori tangki serta pekerja tapak pembinaan atas kesalahan memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa permit sah atau kebenaran Pengawal Bekalan.

"Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan minyak diesel itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam rampasan kedua, pihaknya menerima serahan kes daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berkaitan Op Kontraban membanteras ketirisan barang kawalan di sekitar sempadan negara.

Azman berkata, dalam rampasan pada Selasa lalu itu, sebanyak 20,000 liter diesel disita terhadap sebuah treler dan sebuah bot ikan kelas C di lokasi Jeti Tok Bali.

"Tindakan kes dihasilkan kerana disyaki ada berlaku aktiviti membekalkan minyak diesel tanpa kebenaran pengawal serta memiliki bahan kawalan itu tanpa sebarang dokumen sah dari Pengawal Bekalan.

"Nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua kes adalah RM336,991.60 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala RM2 juta bagi perbadanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 12:45 PM