Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ,  Ariffin Samsudin (tengah) ketika sidang media operasi penyelewengan barang kawalan bersudsidi (Diesel) melalui Ops Tiris di Stor KPDN, Segambut hari ini. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Ariffin Samsudin (tengah) ketika sidang media operasi penyelewengan barang kawalan bersudsidi (Diesel) melalui Ops Tiris di Stor KPDN, Segambut hari ini. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Zhahirah Sazali


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi kini dikesan menyasarkan stesen minyak di Lembah Klang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebelum ini, sindiket menjadikan negeri di sempadan untuk membeli diesel di stesen minyak sebelum di seludup ke negara jiran.

Kegiatan itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas menahan empat warga tempatan dalam serbuan Ops Tiris di stor haram di Jalan Pasir Baru, di sini 4 Oktober lalu.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, serbuan itu hasil risikan dijalankan selama tiga minggu dengan mendapati beberapa lori bonded dan kanvas satu, tiga dan lima tan berulang kali membeli diesel di stesen minyak di sekitar Jalan Klang Lama di sini.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, diesel yang dibeli akan dikumpulkan di stor haram itu sebelum dipindahkan ke lori kontena 20 tan.

"Kemudian sindiket akan menghantar ke luar kawasan dari Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, empat ditahan terdiri daripada dua pekerja stor, seorang pemandu lori dan seorang lagi dipercayai pemilik stor haram terbabit," katanya pada sidang media di Stor KPDN di Segambut hari ini.

Ariffin berkata, pihaknya turut menyita lori kontena dengan muatan cecair disyaki diesel dalam 'flexi bag' berjumlah 24,000 liter dianggarkan bernilai RM56,400.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemukan tiga tangki skid yang dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel.

"Bagaimanapun hanya satu tangki skid mengandungi cecair disyaki diesel berjumlah 4,073 liter bernilai sebanyak RM9,571.55 ditemui. Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM120,966.95.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan iaitu diesel tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan," katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, setakat ini, KPDN Kuala Lumpur membuka sebanyak tujuh kertas siasatan melibatkan 11 tangkapan warga tempatan di bawah Ops Tiris.

"Nilai sitaan barang kawalan RM 215,706.66 bagi 103,328.68 liter diesel. Anggaran keseluruhan barang rampasan sebanyak RM296,632.70 merangkumi kenderaan dan barang kawalan.

"KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada dan pihak kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang menjadi salah satu pemberian subsidi oleh pihak kerajaan yang perlu dipelihara untuk dinikmati rakyat negara ini," katanya.

Tegasnya, mana-mana pihak yang ingkar dan melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan bakal menerima hukuman yang berat ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:06 PM