ALEX Yoong (kiri) ketika bercuti di Iran bersama keluarga. FOTO Ihsan FB Alex Yoong
ALEX Yoong (kiri) ketika bercuti di Iran bersama keluarga. FOTO Ihsan FB Alex Yoong
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bekas pemandu Formula 1 (F1) Malaysia Alex Yoong meluahkan rasa lega sebaik sahaja menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor hari ini, selepas berdepan pengalaman mendebarkan terkandas di Iran Sabtu lalu susulan negara itu menyerang Israel.

Alex ketika dihubungi Harian Metro berkata, beliau tiba di KLIA kira-kira jam 3.30 petang hari ini dengan pesawat Emirates.

Menurutnya, percutian di Iran sangat menyeronokkan kerana ia sebuah negara yang hebat dan cantik, jauh berbeza berbanding yang digambarkan dalam media Barat.

"Saya menghabiskan masa yang menyeronokkan di sana. Namun, saya tak menyangka berdepan situasi mendebarkan Sabtu lalu apabila Iran melakukan serangan dengan menghantar dron ke Isreal.

"Ketika itu, saya sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran untuk pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, penerbangan dibatalkan dan operasi di lapangan terbang digantung sementara.... Suasana ketika itu dirasakan sangat tegang.

"Kami dapat lihat roket di udara ditujukan ke arah Israel ketika memandu pulang ke tempat penginapan," katanya.

Alex, 47, yang juga Pengarah Perlumbaan Kejuaraan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) E-sport 2024 berkata, dia berjaga waktu malam pada hari serangan itu untuk menonton berita terkini keadaan konflik Iran-Israel.

"Nasib baik tiada siapa yang cedera dan saya menganggap ia tindak balas Iran terhadap serangan Israel ke atas kedutaan Iran di Syria.

"Saya melihat ramai penduduk tempatan menyimpan barang keperluan dan terdapat barisan panjang kenderaan yang menunggu untuk mengisi minyak di stesen minyak.

"Namun keadaan beransur baik dan penduduk tempatan kembali tenang. Apabila lapangan terbang beroperasi semula, saya segera mengambil penerbangan kembali ke Malaysia.

"Semoga gencatan senjata di Palestin dapat direalisasikan seperti didoakan semua orang," katanya.

Katanya, pesawat dinaikinya berlepas 6.20 petang pada Isnin (semalam) dari Tehran dan transit di Dubai sebelum meneruskan penerbangan ke KLIA yang mengambil masa hampir 16 jam.

Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah Israel pada petang Sabtu hingga pagi Ahad dan menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas kepada beberapa jenayah, termasuk serangan ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April.

Tehran menyatakan bahawa serangan itu menyasarkan sasaran tentera, manakala tentera Israel mengumumkan ia memintas 99 peratus peluru berpandu Iran.

Penyiar awam Israel, KAN, pada Isnin melaporkan Tentera udara Israel dilaporkan sudah memuktamadkan persiapan untuk kemungkinan melakukan serangan balas ke atas Iran.

KAN dilapor berkata Tel Aviv juga sedang merancang 'tindak balas terhad' bagi mengelakkan perang habis-habisan antara kedua-dua pihak.

Israel berusaha untuk mengekalkan Semenanjung Gaza sebagai medan perang utama, dan tidak mahu mengubahnya menjadi barisan kedua, kata KAN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 5:16 PM