IRAN mengangkat bendera dan mock up peluru berpandu semasa perayaan di dataran Palestin di tengah Tehran. FOTO AFP
IRAN mengangkat bendera dan mock up peluru berpandu semasa perayaan di dataran Palestin di tengah Tehran. FOTO AFP
AFP

Tehran: Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas faktor keselamatan susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel, hujung minggu lalu.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, kerajaan mempertimbangkan langkah itu sebagai berwaspada dengan sebarang kemungkinan Israel menyasarkan kemudahan itu sebagai tindak balas serangan Sabtu lalu.

"Kami sentiasa bimbang tentang kemungkinan ini.

"Apa yang saya boleh beritahu anda ialah pemeriksa kami di Iran dimaklumkan kerajaan Iran pada Ahad, semua kemudahan nuklear yang kami periksa setiap hari akan ditutup atas pertimbangan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam.

Mengulas lanjut, Grossi berkata, kemudahan itu akan dibuka semula pada Isnin, namun pemeriksa tidak akan kembali sehingga hari berikutnya.

"Saya memutuskan untuk tidak membenarkan pemeriksa pulang sehingga kita melihat keadaan benar-benar tenang," katanya.

Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu terhadap Israel semalaman dari Sabtu hingga Ahad lalu sebagai membalas serangan udara ke atas bangunan konsulat di Damsyik yang membunuh tujuh Pengawal Revolusinya dengan dua daripadanya berpangkat jeneral.

Israel dan sekutunya menembak jatuh sebahagian besar senjata dan serangan itu hanya menyebabkan kerosakan kecil, tetapi kebimbangan mengenai kemungkinan tindakan balas Israel mencetuskan kebimbangan perang serantau habis-habisan.

Sebelum ini, Israel menjalankan operasi terhadap tapak nuklear di rantau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 4:14 PM