SYAIFUL Rizal (duduk sebelah kiri sekali) dan Mohamad Ghazali (duduk dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga adik Nur Alish. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
SYAIFUL Rizal (duduk sebelah kiri sekali) dan Mohamad Ghazali (duduk dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga adik Nur Alish. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Penderitaan dialami seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser leukemia, mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR) apabila menghulurkan bantuan RM3,000.

Nur Alish Umairah Mohd Romzan berusia lima tahun disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu kini perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Bapanya, Mohd Romzan Ramli, 44, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sekelip mata selepas anak kedua daripada empat beradik itu menderita penyakit berkenaan.

Menurutnya, dia dan isteri perlu memberi perhatian sepenuhnya dan menyediakan rawatan kepada Nur Alish selain menjaga tiga anak yang masih kecil.

"Saya hanya pekerja kontrak dengan pendapatan RM1,000 sebulan manakala isteri suri rumah dan baru sahaja melahirkan anak kini berusia sebulan.

"Sejak mengetahui anak sakit, sumber kewangan kami tidak mencukupi dan anak sulung terpaksa berhenti sekolah sebelum ini kerana membantu menjaga adik berusia dua tahun ketika saya berada di hospital," katanya.

Mohd Romzan menerima sumbangan RM3,000 yang disampaikan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani di kediamannya di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, beliau terpanggil untuk menyantuni sendiri dan melihat keadaan dialami Nur Alish yang menderita penyakit kanser leukemia dan terpaksa berulang alik ke hospital mendapatkan rawatan kemoterapi.

"Bantuan ini amat kecil nilainya tetapi diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membantu keluarga itu yang terhimpit masalah kewangan dalam meneruskan kehidupan serta membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan bulanan yang dianggarkan RM200 sebulan," katanya.

Beliau berkata, suasana lebih memilukan apabila beliau mendengar luahan ibu bapa terbabit yang pernah terputus bekalan makanan dan terpaksa meminta bantuan jiran untuk membelikan sedikit beras demi mengisi perut anak mereka.

Tambahnya, YBR mendoakan Nur Alish diberikan kesembuhan dan berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai tampil meringankan beban keluarga itu.

Tahun lalu, YBR memperuntukkan hampir RM320,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka kurang bernasib baik bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Nur Alish boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank 151623064684 atas nama Mohd Romzan Ramli atau menghubunginya di talian 011-24410632.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 6:02 PM