Syaiful Rizal dan Profesor Dr Haim Hilman (tengah) ketika menyerahkan bantuan kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini. FOTO Ihsan YBR
Syaiful Rizal dan Profesor Dr Haim Hilman (tengah) ketika menyerahkan bantuan kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini. FOTO Ihsan YBR
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 100 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dari keluarga B40 akan menerima manfaat bantuan awal pengajian bernilai keseluruhan RM100,000 yang disalurkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) tahun ini.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan bertujuan bagi meringankan beban kewangan penuntut ketika kemasukan ke semester baharu.

Katanya, pemilihan penuntut diploma dan ijazah sarjana muda itu dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM dengan penuntut terpilih akan menerima bantuan RM1,000 setiap seorang.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan terutama masyarakat di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain meringankan tanggungan ibu bapa," katanya pada majlis penyerahan bantuan itu di UUM Sintok, Kedah, hari ini.

Penyerahan replika cek bantuan awal pengajian itu disaksikan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful berkata, YBR turut menyalurkan RM2.27 juta bantuan awal pengajian kepada 2,916 penuntut dari 19 institut pengajian tinggi (IPT) serta melalui permohonan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang 2022.

Pada majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) turut menyumbangkan set kelengkapan 'SIR Corner' kepada perpustakaan UUM bagi memudahkan penuntut mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.

Untuk rekod, YBR juga memperuntukkan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal.

Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat penuntut dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 4:39 PM