TANGKAP layar video tular memaparkan keadaan di lokasi kemalangan. FOTO ihsan pembaca
TANGKAP layar video tular memaparkan keadaan di lokasi kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua pelajar tingkatan tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar, Jalan Haji Abdul Wahid di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya meneima maklumat berhubung kemalangan itu, 10.12 malam tadi.

"Kemalangan berlaku pada 10 malam membabitkan empat motosikal serta semua yang terbabit adalah lelaki.

"Siasatan mendapati, dua motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa dari arah Bukit Kapar menuju ke Kapar.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua motosikal terbabit bertembung dengan dua motosikal lain yang datang dari bertentangan di hadapan sekolah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya berkata, dalam kemalangan itu, dua mangsa yang berumur 15 tahun dan masih bersekolah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.

"Polis masih lagi mengesan dan mengenal pasti dua lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu. Mereka dianggarkan berumur lingkungan 15 hingga 20 tahun.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

"Sebarang maklumat mengenai kemalangan terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah (017-5843860)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 12:38 PM