GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang memantau kemunculan seekor beruang matahari di kawasan berhampiran sebuah padang golf di Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran haiwan itu daripada penduduk di kawasan berkenaan.

"Pasukan Perhilitan Kuala Terengganu sedang berusaha menjejaki beruang matahari namun setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk lagi.

"Kita akan menjalankan kawalan dan pemantauan dari masa ke semasa di kawasan berkenaan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan liar selain tidak melakukan provokasi dan segera beredar dari lokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp sebuah video berdurasi dua saat memaparkan kemunculan seekor beruang matahari selain mesej suara berdurasi 33 saat yang dikongsikan penduduk mengenai kehadiran haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 9:17 PM