MOHD Asri (kiri) ketika menyertai Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
MOHD Asri (kiri) ketika menyertai Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Klang: Setiap saat diluangkan bersama keluarga tercinta di rumah adalah detik paling berharga buat Leftenan Komander Maritim Mohd Asri Zahari.

Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk itu berkata, demi tugas kepada negara, mereka membiasakan diri berpuasa dan berbuka di tengah lautan bersama rakan seperjuangan.

Bagaimanapun, katanya, suasana berbuka di atas kapal tidak dapat dibandingkan dengan kemeriahan apabila menjamu selera bersama anak dan isteri tercinta di rumah.

"Apabila berbuka puasa dengan keluarga, perasaan lain sedikit, suasana lebih meriah dengan celoteh anak-anak di rumah.

"Biasalah, demi tugas kami sudah lali, kita dilatih sejak awal. Jadi saya dan keluarga kedua saya di atas kapal sudah biasa berjauhan dengan keluarga," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Menurutnya, sebagai Pegawai Pemerintah KM Bagan Datuk, dia dan anak-anak kapal sentiasa bersedia bertugas demi menjaga keselamatan perairan negara.

Katanya, walaupun sukar apabila terpaksa berjauhan dengan dua anaknya yang berusia 7 dan 9 tahun namun hal itu sudah menjadi asam garam buat dirinya dan warga APMM, malah kapal peronda berkenaan seolah-olah sudah menjadi rumah kedua buat mereka.

MOHD Asri. FOTO Faiz Anuar
MOHD Asri. FOTO Faiz Anuar

"Sepanjang perkhidmatan saya di Selangor, sudah dua kali saya beraya di tengah lautan namun syukur, keluarga memahami tugas kami.

"Biasanya, bila di lautan dan berpuasa di atas kapal, kami akan berbuka bersama, solat fardu, solat Jumaat dan Tarawih, semua kami akan buat bersama," katanya.

Pemegang ijazah sarjana muda pengurusan maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu memberitahu, dia memang berminat dengan badan beruniform sejak kecil.

"Sejak kecil saya sertai pelbagai unit beruniform di sekolah kerana minat mungkin juga sebab ayah saya adalah anggota tentera.

"Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat perkapalan dan membuat keputusan menyertai APMM selepas tertarik kdengan tugas dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, sepanjang perkahwinan yang sudah berusia 11 tahun, pelbagai cabaran perlu diharungi bagi memenuhi tanggung jawab kepada keluarga dan negara.

MOHD Asri (dua kanan) menerima sumbangan Ramadan ketika bertugas menjaga keamanan perairan negara. FOTO Faiz Anuar
MOHD Asri (dua kanan) menerima sumbangan Ramadan ketika bertugas menjaga keamanan perairan negara. FOTO Faiz Anuar

Bagaimanapun, katanya, semua itu dapat ditempuhi berkat doa isteri dan keluarga tercinta yang sentiasa memahami komitmen pekerjaan sebagai penjawat awam.

"Keluarga saya sudah memahami rutin harian. Jadi, apabila masa bersama keluarga, ia amat bernilai dan perlu bahagikan masa dengan baik.

"Pada semua, hargailah pengorbanan kami anggota APMM, selain kesemua agensi penguatkuasaan lain, kerana keamanan itu mahal harganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:10 AM