ANGGOTA APMM Kapal Maritim Marlin   berbuka puasa di tengah lautan bersama-sama rakan setugas ketika berada di perairan Perak.
ANGGOTA APMM Kapal Maritim Marlin berbuka puasa di tengah lautan bersama-sama rakan setugas ketika berada di perairan Perak.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“Berada di tengah lautan dan panas terik tidak mematahkan semangat kami untuk terus menjaga perairan negara walaupun ketika berpuasa,” kata Leftenan Komander Maritim, Mohd Husaimi Husin.

Menjalani ibadat puasa dalam keadaan panas terik dan berbuka puasa di lautan sudah menjadi rutin bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu setiap kali Ramadan.

Mohd Husaimi yang juga Ketua Operasi bagi Kapal Maritim Marlin, kini sedang melakukan rondaan menerusi Op Sayung di perairan Perak dan Selat Melaka.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan baginya dan anak kapal berbuka puasa di atas kapal dan di tengah lautan.

“Ini adalah tahun kelima saya berpuasa ketika bertugas di atas kapal.

“Walaupun tidak bersama keluarga namun keadaan berpuasa di atas kapal, tetap meriah berikutan kami semua bagaikan keluarga besar terutama ketika berbuka, bersahur dan bertarawih,” katanya.

Mohd Husaimi berkata, semua anak kapalnya tetap komited menunaikan tanggungjawab menjaga perairan negara sambil berpuasa walaupun berada di bawah terik mentari dan cuaca tidak menentu.

 ANGGOTA APMM menyediakan  juadah berbuka puasa.
ANGGOTA APMM menyediakan juadah berbuka puasa.

“Biarpun penat menjalani ibadat puasa, namun kegembiraan jelas terpancar pada anak kapal yang bertugas kerana disajikan hidangan istimewa daripada tukang masak,” katanya.

Sementara itu, Leftenan Maritim Mohd Khair Baharom berkata, rutin di atas kapal tidak menjadi halangan kepadanya dan rakan setugas untuk beribadat pada bulan Ramadan.

“Sebagai anggota APMM, pastinya kami perlu sentiasa mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal.

“Walaupun terpaksa melayan ombak yang bergelora di tengah lautan, namun tugas dan ibadat tetap dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:10 AM