ANTARA pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu negara akibat hujan lebat, petang tadi. FOTO Ihsan APM
ANTARA pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu negara akibat hujan lebat, petang tadi. FOTO Ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hujan lebat menyebabkan dua kenderaan rosak serta jalan raya terhalang susulan pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu negara akibat hujan lebat, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pokok tumbang jam 6.34 petang.

"Di Jalan Radin Anum, Taman Seri Petaling, terdapat tiga pokok tumpang pada jarak satu kilometer yang menyebabkan dua kenderaan rosak akibat dihempap pokok.

"Malah, pokok yang tumbang di lokasi terbabit juga menghalang jalan raya, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, terdapat pokok tumbang di Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa yang menghempap sebuah kereta, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

"Sementara itu, di Jalan Awan Cina, Taman Yarl pula, pokok yang tumbang menghalang jalan raya di kawasan berkenaan.

"Selain itu, pokok tumbang juga dilaporkan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Awan Besar, Bukit Jalil, di sini.

"Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang di lokasi-lokasi terbabit sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 8:22 PM