POKOK tumbang yang menghempap rumah di Kampung Tasik Permai, Ampang, hari ini. FOTO ihsan bomba dan APM.
POKOK tumbang yang menghempap rumah di Kampung Tasik Permai, Ampang, hari ini. FOTO ihsan bomba dan APM.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA rumah di Kampung Tasik Permai berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Ampang, rosak akibat dihempap pokok tumbang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.32 petang.

“Seramai 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan BBP Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati ada beberapa pokok tumbang dan menghempap dua rumah di kawasan berkenaan.

“Selain itu, ada pokok tumbang menghalang jalan raya di kawasan terbabit dan mengenai bangunan IPD Ampang Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian memotong dan mengalihkan pokok berkenaan.

Sementara itu, hujan lebat bermula 3 petang itu turut mengakibatkan banjir lumpur di kawasan lebuh raya di Bukit Ampang.

Difahamkan kerja pembersihan di lokasi dilakukan pihak Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Selain itu, pokok tumbang turut dilaporkan di lebih 10 lokasi lain sekitar Lembah Klang yang mengakibatkan beberapa kenderaan rosak.

Antara lokasi membabitkan kejadian pokok tumbang adalah di Taman Cheras, Taman Rakyat, Kampung Cheras Baru, Taman Midah, Taman Cheras Utama, Taman Mulia Jaya, Taman Pandan Indah, Taman Connought dan Bukit Permai.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dipanggil bagi memotong pokok tumbang di Taman Mulia Jaya dan Taman Pandan Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 7:52 PM