KEADAAN sebuah rumah dan kenderaan yang dilanda ribut di Sungai Buloh. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN sebuah rumah dan kenderaan yang dilanda ribut di Sungai Buloh. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 12 rumah dan 10 kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang di sekitar Sungai Buloh akibat ribut dan hujan lebat sejak jam 5 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula jam 5.30 petang hingga 7.44 malam tadi.

“Kami menerima 31 kes membabitkan pokok tumbang yang menghalang jalan dan menghempap rumah serta kereta.

“Bertindak atas laporan dibuat, seramai 30 pegawai dan anggota bersama lapan jentera dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hazrin berkata, antara jalan yang terjejas akibat kejadian itu ialah Jalan Paya Jaras, Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1.

“Difahamkan 12 rumah dan 10 kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian itu.

“Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang sedang giat dijalankan. Malah kami masih menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sehingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:34 PM