HAZIQ menunjukkan batu nisan sungai yang dijual pada harga RM450 sepasang mendapat permintaan kerana majoriti pelanggan lebih memilih minimalis. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HAZIQ menunjukkan batu nisan sungai yang dijual pada harga RM450 sepasang mendapat permintaan kerana majoriti pelanggan lebih memilih minimalis. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Setiap kali menjelang Aidilfitri permintaan terhadap batu nisan dan belindan mendapat permintaan tinggi untuk 'dihadiahkan' kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Menurut pekerja kedai batu nisan dan belindan, Muhammad Haziq Hazazi Mohd Rusland, 24, permintaannya meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Katanya, pertambahan itu bermula Ramadan menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

"Batu nisan dan belindan yang paling mendapat sambutan adalah jenis trazo disebabkan harganya yang lebih murah iaitu RM1,700, berbanding marmar dan batu granite yang berharga RM3,000 ke atas bagi setiap set termasuk kos pemasangan.

"Bagaimanapun, pada masa sama, ada juga pelanggan yang tidak mahu menukar batu nisan dan belindan baharu, sebaliknya meminta kami untuk membersih dan mengecatnya semula, supaya ia nampak lebih kemas serta baharu," katanya ketika ditemui di kedai di Jalan Berek 12, di sini, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, perkhidmatan memasang batu nisan dan belindan dibuat di seluruh Kelantan, selain turut menerima tempahan dari Terengganu.

"Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, batu nisan sungai yang dijual pada harga RM450 sepasang mendapat permintaan kerana majoriti pelanggan memilih minimalis.

"Bagi mereka yang menempah untuk Aidilfitri, kami akan memasangnya seminggu sebelum hari raya," katanya yang memberitahu ada pelanggan yang menempah untuk diri sendiri meskipun tidak ramai, namun sebagai mengingati kematian.

Muhammad Haziq mengakui terbabit dengan perniagaan begitu secara tidak langsung memberi keinsafan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 1:57 PM