Wan Jonee memasang nama jenazah pada belindan yang diusahakannya.
Wan Jonee memasang nama jenazah pada belindan yang diusahakannya.
HM Digital

Kota Bharu: Setiap kali Ramadan serta menjelang Aidilfitri, perniagaan batu nisan dan belindan mendapat permintaan tinggi sehingga memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Wan Jonee Wan Mahmood, 60, pengusaha perniagaan itu yang diwarisi daripada arwah bapa saudaranya (Wan Abdullah Wan Chik) sejak 16 tahun lalu berkata, permintaan batu nisan dan belindan meningkat setiap kali Ramadan.

Menurutnya, kerja pembuatan batu nisan dan belindan memerlukan kemahiran, kesabaran serta ketelitian tinggi dan ia mengambil masa antara seminggu hingga tiga bulan bergantung kepada jenis batu yang dikehendaki pelanggan.

“Menjelang Aidilfitri permintaan meningkat kerana waris si mati membuat tempahan bagi menggantikan batu nisan dan belindan yang baru.

“Bagi menyiapkan tempahan pelanggan, saya dibantu empat pekerja terdiri daripada saudara-mara yang mahir membuatnya,” katanya di Kampung Bunut Payong, di sini.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, dia dan pembantunya pernah bekerja sehingga pagi raya untuk memasang batu nisan dan belindan di tanah perkuburan.

“Selain di Kota Bharu, kerja pemasangan batu nisan dan belindan juga mendapat permintaan daripada pelanggan di Gua Musang, Rantau Panjang serta Jeli.

“Saya menawarkan beberapa jenis belindan termasuk trazo dan marmar dengan harga mengikut jenis serta permintaan pelanggan bermula RM300 manakala batu nisan pula antara RM100 hingga RM2,000.

“Belindan paling mahal yang pernah saya buat berharga RM40,000 daripada ukiran kayu jati yang ditempah kerabat diraja,” katanya.

“Kerja membuat batu nisan memberikan kesedaran tentang hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:58 AM