MOHAMAD Firdaus bahagia dengan isteri dan anaknya walaupun sudah hampir empat tahun menyepi daripada laman sosial. FOTO Ihsan Mohamad Firdaus Mohamed
MOHAMAD Firdaus bahagia dengan isteri dan anaknya walaupun sudah hampir empat tahun menyepi daripada laman sosial. FOTO Ihsan Mohamad Firdaus Mohamed
Redzuan Muharam

Kuantan: Selepas hampir empat tahun menyepi, Mohamad Firdaus Mohamed yang pernah tular di laman sosial kerana gelagat mencuit hati dengan anak sulungnya, Muhammad Fattah Anaz atau dikenali Fattah Anas, 8, kembali membuat kemunculan menerusi TikTok, @papanas31.

Mohamad Firdaus, 31, yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan menetap di Felda Bukit Goh, di sini, berkata dia sekeluarga memilih kehidupan lebih tenang sebelum ini apabila tidak aktif di laman sosial.

"Sebenarnya, saya baru saja aktifkan akaun TikTok menggunakan telefon bimbit pemberian majikan. Sebelum ini tak pakai telefon bimbit kerana tak tahu nak berhubung dengan siapa.

"Tak rancang pun nak buat buka akaun TikTok, tapi anak tuan syarikat banyak bagi sokongan dan kebetulan, saya sudah ada telefon bimbit jadi saja kongsi video untuk suka-suka.

"Ikutkan sudah lama juga tak ada akaun laman sosial kerana akaun Instagram (IG) yang lama pun sudah tiada selepas dijual kepada seorang pengasas produk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung penyakit misteri yang pernah dikaitkan dengan dirinya, Mohamad Firdaus bersyukur kerana sudah sembuh dan tidak lagi menanggung derita.

"Mengikut ustaz yang ditemui, begitulah kisahnya (terkena buatan orang) namun apa yang penting, saya sudah sembuh dan boleh cari rezeki," katanya.

Katanya, sejak memuat naik perkongsian di TikTok, dia menerima banyak komen daripada pengikut lama yang mengikuti perkembangan Fattah Anas yang pernah tular satu ketika dulu.

FATTAH Anas sudah bersekolah di tahun dua. Gambar kanan, tangkap layar video Fattah Anas dalam sangkar kucing yang pernah tular pada 2018. FOTO Ihsan Mohamad Firdaus Mohamed
FATTAH Anas sudah bersekolah di tahun dua. Gambar kanan, tangkap layar video Fattah Anas dalam sangkar kucing yang pernah tular pada 2018. FOTO Ihsan Mohamad Firdaus Mohamed

"Kiriman mesej peribadi itu tiada, tapi di ruangan komen, memang ada yang kata rindu tengok (Fattah) Anas kerana teringat masa dulu.

"Seronok juga tengok orang 'seru' nama Anas dan Anas pun tahu dia pernah dikenali satu ketika dulu.

"Cuma, saya tak mahu Anas letak dirinya sebagai orang dikenali dan ajar dia supaya merendah diri walaupun masih ada yang tegur serta perhati jika kami keluar," katanya.

Menurut Mohamad Firdaus, dia selesa menjalani hidup sederhana bersama isteri dan empat anaknya tanpa memikirkan untuk bergelar pempengaruh atau aktif di laman sosial seperti dulu.

"Buat masa ini, tak ada lagi tawaran kolaborasi. Cuma ke depan nanti tak tahu macam mana.

"Jika tawaran itu baik, ada manfaat dan kebaikan untuk saya juga keluarga apa salahnya.

"Seandainya tiada pun, tak mengapa kerana apa saya fikirkan adalah cari rezeki untuk keluarga, malah kalau ada orang tawar kerja potong rumput pun, saya ambil untuk tambah pendapatan," katanya.

Untuk rekod, Fattah Anas mula tular pada 2018 menerusi video dia diusik bapanya apabila masuk ke dalam sangkar kucing ketika berusia dua tahun.

Bagaimanapun, Fattah Anas 'hilang' di laman sosial selepas tular kisah bapanya menghidap penyakit misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:09 PM