BABY Oyen ditemui dalam kotak dengan tali pusat. FOTO Ihsan Mohamad Habil Jaffri
BABY Oyen ditemui dalam kotak dengan tali pusat. FOTO Ihsan Mohamad Habil Jaffri
Redzuan Muharam


Kulai: "Saya sayang sangat dengan kucing dan sudah pelihara 13 ekor yang pernah sakit dan kecacatan serta kritikal namun itu bukan alasan orang buang haiwan itu depan rumah saya.

"Itu perbuatan tidak berperikemanusiaan malah bukan hanya menyeksa kucing itu tetapi saya."

Demikian luahan pemandu e-hailing, Mohamad Habil Jaffri, 34, yang kecewa dan sedih selepas ada individu tidak bertanggungjawab membuang anak kucing di depan rumahnya.

Bercerita lanjut, Mohamad Habil berkata, dia menemui anak kucing yang diletakkan di dalam kotak itu jam 3.45 pagi Sabtu lalu.

Katanya, tiada apa yang ditinggalkan bersama di dalam kotak berkenaan melainkan anak kucing semata-mata namun disebabkan kasihan, Mohamad Habil tetap membawa masuk haiwan yang diberi nama Baby Oyen itu ke rumahnya.

"Waktu itu, saya baru sampai di rumah selepas selesai kerja dan nampak ada sebuah kotak di depan rumah.

"Selepas periksa isi dalam kotak itu, saya dapati ada seekor anak kucing yang baru dilahirkan kerana masih bertali pusat.

"Saya tak pasti siapa buang anak kucing itu tapi saya syak individu itu dalam kalangan mereka yang dapat alamat saya menerusi perkongsian di ruangan mesej dekat laman sosial," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Habil berkata, alamat itu diberi kepada beberapa individu selepas diminta oleh mereka yang mengatakan mahu menghantar makanan kucing.

Bagaimanapun, Mohamad Habil mendakwa tidak menerima apa jua sumbangan yang dihantar sehingga ke hari ini tetapi yang diterima adalah anak kucing berkenaan.

"Memang saya ada muat naik hantaran buat hebahan memohon sedikit sumbangan 'kibbles' (makanan kucing) daripada pengikut di laman sosial.

"Tak lama selepas itu, ada beberapa hamba Allah 'DM' (hantar mesej di laman sosial) minta alamat jadi saya beri kerana katanya nak kirimkan ke rumah.

"Tapi sampai sekarang saya tak terima apa pun dan fikir tiada rezeki cuma yang menyedihkan saya apabila ada orang hantar anak kucing pula ke rumah saya", katanya.

Menyedari sumber kewangan yang sangat terhad menyebabkan Mohamad Habil enggan menambah kucing peliharaan kerana bukan hanya perlu menanggung perbelanjaan keperluan dan makanan tetapi kos rawatan.

Katanya, perbelanjaan bulanan untuk 13 kucing peliharaannya sebelum ini saja mencecah RM1,200 untuk membeli makanan kering dan basah, pasir kucing jenis tofu, kelengkapan pembersihan sangkar seperti tisu, cecair pembersih perlindungan kuman, tisu lap mata, tisu antibakteria, ubat cacing, ubat kutu dan putik kapas.

"Sudah lebih RM70,000 saya belanjakan untuk kucing peliharaan saya termasuk kos rawatan mereka semua. Kesemua kucing saya bukanlah kucing peliharaan biasa tetapi ada sejarah penyakit kritikal dan kecacatan yang perlu membuat pembedahan yang besar yang memerlukan kos yang sangat besar.

"Oleh kerana itu, kucing peliharaan saya perlu diberi makanan berkualiti yang bukannya murah pada saya hingga sampai satu tahap, saya terpaksa jual motosikal dan komputer riba dengan sebahagian wang hasil jualan itu bagi menampung kos rawatan kucing.

"Ikutkan tak larat sebenarnya nak tambah kucing peliharaan kerana sedar kemampuan saya yang bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau penyelamat haiwan berdaftar tapi apa boleh buat, orang sudah buang jadi saya perlu selamatkan Baby Oyen," katanya.

Menurutnya, Baby Oyen kini dalam keadaan baik cuma masih diletakkan di dalam kotak yang dialas dengan kain suam untuk menghangatkan badannya.

"Saya beri Baby Oyen minum susu yang dibeli dulu dan jika ada rezeki sumbangan individu prihatin barulah saya beli kelengkapannya dan hantar ke klinik veterinar untuk diletakkan di dalam wad pemanasan.

"Dianggarkan RM1,200 hingga RM1,500 diperlukan untuk beli keperluan dan tampung kos rawatan Baby Oyen.

"Pendapatan sebagai pemandu e-hailing saja memang tak cukup tapi perlu usahakan juga supaya Baby Oyen dan semua kucing peliharaan saya tak berlapar serta membesar dengan sihat," katanya yang mengalukan bantuan sesiapa saja sudi menyumbang.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156141402999 atas nama Mohamad Habil Jaffri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:39 PM