MOHAMAD, gambar fail. FOTO NSTP
MOHAMAD, gambar fail. FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius dakwaan dibuat sesetengah pihak mengenai wujudnya kartel dalam industri padi dan beras negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) oleh pemegang lesen dan permit, KPKM akan membatalkan serta-merta atau menggantung lesen mana-mana pihak berkait tindakan yang dilakukan itu.

"Industri padi dan beras negara dikawal selia oleh KPKM di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522). Melalui akta ini, pelesenan dan penguatkuasaan adalah langkah KPKM untuk memastikan ekosistem yang adil di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara.

"Sekiranya terdapat pelanggaran Akta 522, dan peraturan-peraturan di bawahnya oleh pemegang lesen dan permit, KPKM akan membatalkan serta-merta atau menggantung lesen mana-mana pihak," katanya semasa ucapan penggulungan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan, tahun lalu sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah dibatalkan kerana pelanggaran syarat sah lesen.

Selain itu Mohamad berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan wujudnya kartel dalam industri padi dan beras negara di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

"Kerjasama penuh akan diberikan kepada MyCC sehingga siasatan selesai sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 5:08 PM