Chegu Bard. FOTO Arkib NSTP
Chegu Bard. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya merakam percakapan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard dan Zahid Mat Arip, hari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kenyataan mempersoalkan isu pemberian kereta oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes ini masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh menganggu siasatan," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform itu dengan menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Chegu Bard menafikan beliau menghina Yang di-Pertuan Agong sebaliknya memaklumkan tidak mengetahui identiti individu yang merakam serta menularkan video berkenaan.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Chegu Bard dan Zahid berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 7:49 PM