BADRUL Hisam @ cheGuBard (dua dari kanan) selepas keluar dari Bukit Amana, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
BADRUL Hisam @ cheGuBard (dua dari kanan) selepas keluar dari Bukit Amana, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: 'Tak tahu siapa rakam dan tularkan,' itu jawapan Chegu Bard berhubung video tular memaparkan perbualan dirinya bersama bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip yang didakwa menghina institusi diraja.

Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ketika ditemui berkata, tidak ada mana-mana bahagian dalam video berdurasi lima minit 46 saat itu menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau menyifatkan tindakan pihak berkuasa memanggil dirinya dan Muhammad Zahid untuk dirakam percakapan sebagai satu bentuk intimidasi yang jelas daripada pihak tertentu.

"Dalam rakaman itu membela Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan kepada orang ramai bahawa Baginda adalah harapan rakyat dalam menyelamatkan negara yang kelihatan menuju negara gagal ini.

"Maka jelas siasatan ke atas kami adalah intimidasi dan bertentangan dengan perlembagaan negara yang menjamin hak dan kebebasan rakyat bersuara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir bersama Muhammad Zahid di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman untuk dirakam percakapan berhubung isu itu di sini hari ini.

Katanya, mereka akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan itu namun bertegas tidak akan menyerahkan peralatan telekomunikasi milik mereka.

"Ditegaskan perbualan spontan itu bukan dirakam atau ditularkan oleh kami, maka siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan jika gajet kami dirampas ia adalah satu intimidasi dan salah guna kuasa yang jelas," katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis membuka kertas siasatan ke atas Chegu Bard dan Muhammad Zahid berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 di mana semakan didaftarkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:55 PM