WAN Suraya. FOTO NSTP
WAN Suraya. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan 16 syor kepada Agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata syor itu antaranya Ketua Agensi Persekutuan hendaklah mengemukakan Penyata Kewangan untuk diaudit mengikut tempoh ditetapkan dan memastikan geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh ditetapkan.

"Pinjaman yang dibuat oleh Agensi Persekutuan perlu dijelaskan mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan supaya tidak membebankan Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.

"Selain itu mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman, mengalami kerugian, dan tidak memberi pulangan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Suraya berkata setakat 11 Januari lalu, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2022 telah dikemukakan untuk pengesahan Ketua Audit Negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 130 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan itu telah selesai pensijilan manakala empat agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah.

"Sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran. Seterusnya, 14 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan telah diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai, iaitu 13 Pendapat Berteguran dan satu Pendapat Bertentangan," katanya.

Beliau turut memaklumkan Agensi Persekutuan yang lemah dari segi penyediaan penyata kewangan juga diberi perhatian dalam LKAN kali ini terutama yang mendapat Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, iaitu dari 2020 hingga 2022.

"Antara lain, agensi-agensi ini tidak mematuhi piawaian perakaunan, penyelenggaraan rekod kewangan yang lemah dan mempunyai masalah sistem kewangan," katanya.

Mengenai Analisis Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, Wan Suraya berkata daripada 130 penyata kewangan beraudit, perhatian khusus perlu diberi dengan 80 Agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion dan 50 Agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.570 bilion.

Wan Suraya berkata sebanyak 126 Agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat Agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.

"Lapan puluh enam Agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83 Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion.

"Sepuluh Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion. Sebanyak empat daripada 10 agensi itu mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion manakala tiga daripada empat Agensi Persekutuan berkenaan telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman," katanya.

Wan Suraya berkata 53 Agensi Persekutuan mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan berjumlah RM56.128 bilion dan daripada jumlah itu, 212 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala 22 syarikat subsidiari berstatus dorman.

Selain itu, beliau berkata 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan manakala 91 syarikat subsidiari mengalami kerugian, dan hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif telah membayar dividen kepada Agensi Persekutuan sejumlah RM1.910 bilion pada tahun 2022.

Dalam pada itu, Wan Suraya berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menghadapi isu usaha berterusan berdasarkan tahap keberhutangan dan kebergantungan kedua-dua agensi itu kepada bantuan kerajaan, sama ada dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan.

Beliau berkata ini termasuklah juga pelaporan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah berkaitan penjejasan nilai pelaburan dalam dua syarikat subsidiari dan pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai kepada pencarum.

LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 dimuat naik di laman sesawang Jabatan Audit Negara di pautan https://lkan.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

Buat julung kalinya juga, jenis Sijil Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 dimuat naik melalui Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara di pautan https://agdashboard.audit.gov.my/.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 10:29 AM