FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Empat agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan Tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dan 14 Penyata Kewangan Agensi diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai, iaitu 13 Pendapat Berteguran dan satu Pendapat Bertentangan.

"Agensi Persekutuan yang lemah dari segi penyediaan penyata kewangan juga diberi perhatian dalam LKAN kali ini, terutama yang mendapat Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, iaitu dari 2020 hingga 2022.

"Antara lain, agensi-agensi ini tidak mematuhi piawaian perakaunan, penyelenggaraan rekod kewangan yang lemah dan mempunyai masalah sistem kewangan," katanya.

Selain itu, sebanyak 80 agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion, manakala 50 agensi merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.57 bilion.

Menurutnya, hasil analisis ke atas 130 penyata kewangan beraudit agensi Persekutuan.

Pelaporan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 menekankan lima perkara utama, iaitu Lebihan atau Kurangan Semasa, Aset dan Liabiliti, Geran Kerajaan Persekutuan, Pinjaman serta Pelaburan dalam Syarikat Subsidiari.

Laporan itu menyatakan, sebanyak 126 agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti, manakala empat agensi menunjukkan liabiliti yang lebih tinggi berbanding aset.

"Sebanyak 10 Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion, dengan empat daripadanya mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion, manakala tiga daripada empat agensi itu sudah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman," katanya.

Pada masa sama, 86 Agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83 agensi mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion.

"Sebanyak 53 Agensi Persekutuan mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan berjumlah RM56.128 bilion. Daripada jumlah itu, 212 syarikat subsidiari berstatus aktif, manakala 22 berstatus dorman.

"Selain itu, 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan, manakala 91 syarikat subsidiari mengalami kerugian.

"Hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif sudah membayar dividen kepada Agensi Persekutuan sejumlah RM1.910 bilion pada 2022," katanya.

Laporan itu menyatakan, fokus utama audit dalam LKAN kali ini adalah penekanan terhadap perkara material dan signifikan yang memberi kesan kepada prestasi kedudukan kewangan Agensi Persekutuan, membabitkan isu usaha berterusan, penjejasan nilai pelaburan dan pembayaran dividen kepada pencarum.

Menurutnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menghadapi isu usaha berterusan berdasarkan tahap keberhutangan dan kebergantungan kedua-dua agensi itu kepada bantuan kerajaan, sama ada dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan.

Selain itu, pelaporan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah berkaitan penjejasan nilai pelaburan dalam dua syarikat subsidiari dan pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai kepada pencarum.

Pada LKAN kali ini, Ketua Audit Negara mengemukakan 16 syor kepada agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan, antaranya meminta agensi mengemukakan Penyata Kewangan untuk diaudit mengikut tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:03 PM