Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberi tabik hormat ketika berangkat pada Istiadat Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberi tabik hormat ketika berangkat pada Istiadat Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Nasib pesawah yang menjadi tulang belakang sebenar sektor pertanian perlu diberi perhatian serius supaya golongan ini mendapat pulangan yang lebih baik.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, dengan hasil pendapatan yang sangat rendah, keringat pesawah ketika ini diperah dengan balasan yang tidak setimpal.

"Kerajaan negeri perlu memikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di Kedah memandangkan pengeluaran beras adalah sektor tunjang dalam pertanian yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara.

"Dalam menyelesaikan isu ini, kerajaan negeri harus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menstrukturkan semula ekosistem pengeluaran dan pasaran padi supaya memberi pulangan setimpal kepada petani dan bukan hanya menguntungkan pemain hiliran semata-mata," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di sini, hari ini.

Sultan Kedah bertitah penyelesaian yang ketara dalam perkara ini adalah penggunaan teknologi dalam pertanian tanpa memperluaskan kawasan jelapang padi sedia ada.

Baginda bertitah, teknologi di segenap peringkat rantaian pengeluaran padi perlu diperkasa bermula daripada pengeluaran benih sehingga proses penuaian.

"Cabaran yang dihadapi oleh petani dalam menggunapakai teknologi seperti tahap kemampuan kewangan dan kekurangan

ilmu pengetahuan perlu diselesaikan.

"Kerajaan perlu mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan perkhidmatan teknologi pertanian pada harga murah dan berkualiti," titah baginda.

Baginda bertitah, perancangan penggunaan teknologi dalam pertanian diperlukan di peringkat negeri dalam usaha memodenkan sektor pertanian negeri dengan lebih serius.

Selain padi, titah Sultan Sallehuddin, pengeluaran tanaman makanan yang lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga perlu dipelbagaikan agar sektor makanan menjadi lebih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 2:44 PM