GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM14.50 dan RM22 bagi tahun ini, berbanding empat kadar tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Norizan Khazali, berkata penetapan kadar itu adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di Kedah.

Jelasnya, penetapan itu juga dibuat mengikut kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram beras.

"Pada tahun ini tiada kadar RM6.50, kita selaraskan pada kadar RM7, selain itu kadar RM14 pada tahun lalu dinaikkan kepada RM14.50 manakala kadar RM21 dinaikkan kepada RM22 mengikut yang ditetapkan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara.

"Umat Islam digalak menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari, kadar RM7 iaitu beras super spesial tempatan; RM14.50 bagi beras super import, beras perang, beras pulut, beras ponni dan beras wangi manakala RM22 bagi mereka yang menggunakan beras basmati, beras Jepun dan beras merah.

"Bagaimanapun, sekiranya beras yang dimakan adalah beras super spesial tempatan, individu tersebut mampu membayar lebih pada kadar RM14.50 atau RM22, maka adalah digalakkan membayar zakat fitrah pada kadar yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Norizan berkata, pihaknya menggalakkan pembayaran zakat dibuat secara dalam talian selain bayaran boleh dibuat menerusi 2,707 amil yang dilantik di seluruh negeri.

"Tahun ini juga amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya iaitu melalui sistemMyAmil yang memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar zakat atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

"Pembayar pula akan menerima resit melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel," katanya.

Bagaimanapun, Norizan berkata bagi pembayar yang menghadapi masalah menggunakan kaedah digital tidak perlu bimbang kerana amil yang dilantik akan dibekalkan buku resit zakat fitrah, namun pada kuantiti yang terhad.

"Pembayaran zakat fitrah hanya sah diperakui melalui platform digital yang telah disenaraikan dan melalui amil yang ditauliahkan LZNK serta mempunyai kad kuasa," katanya.

Norizan berkata pada tahun ini,LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM12.65 juta berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM12.05 juta.

Dalam pada itu, katanya LZNK akan meneruskan Program Infak Ayam SegarAidilfitri dengan mengagihkan ayam segar kepada 3,333 keluargaasnaf fakir dan miskin dengan sasaran kutipan sebanyak RM100,000.

Katanya, setiap keluarga akan menerima dua ekor Ayam dengan berat diantara 1.5 kilogram (kg) sehingga 1.7kg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 5:41 PM