Dr Mohamad Abdul Hamid (tengah) menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi tahun ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
Dr Mohamad Abdul Hamid (tengah) menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi tahun ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Umat Islam di Pulau Pinang diberi pilihan membayar zakat fitrah dalam tiga kadar yang ditetapkan berdasarkan jenis beras dimakan serta mengikut kemampuan masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata kadar zakat fitrah tahun ini ditetapkan pada bayaran RM7, RM14 dan RM21.

Menurutnya, penetapan kadar itu dibuat selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang me.miliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.

"Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti yang ditetapkan pada tahun lalu.

"Kadar bayaran RM14 dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras rebus, beras Siam, beras putih Import, beras perang atau setara dengannya, manakala bayaran RM21 ditetapkan bagi golongan yang memakan beras wangi, beras pulut, beras Basmathi, beras Herba Ponni, beras Calrose atau setara dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kadar zakat fitrah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP) Datuk Amran Hazali di Dewan An Ansor, Masjid Al Muhajirin, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 1445H/2024M.

Jelasnya, terdapat sedikit kenaikan pada bayaran zakat fitrah bagi kategori kadar dua dan tiga berbanding tahun lalu.

"Bagi tahun ini, berlaku peningkatan iaitu masing-masing RM1 yang masih munasabah. Namun, bagi mereka yang makan beras biasa tetapi mahu bayar pada kadar lebih tinggi adalah digalakkan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ZPP melantik seramai 1,699 amil zakat fitrah membabitkan 237 pusat kutipan dengan menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM7 juta.

"Kita menasihatkan supaya membuat bayaran kepada amil yang sah serta pihak yang tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 3:44 PM