Norizan Khazali (dua kanan) dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang (kanan) menunjukkan kadar zakat Fitrah Kedah pada tahun 2023. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Norizan Khazali (dua kanan) dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang (kanan) menunjukkan kadar zakat Fitrah Kedah pada tahun 2023. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan empat kadar zakat fitrah tahun ini berbanding tiga kadar tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Norizan Khazali berkata, kadar RM6.50, RM7, RM14 dan RM21 itu adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram beras.

"Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi selain ada daerah yang mengusahakan tanaman padi setahun sekali atau dua kali setahun.

"Berikutan itu, tahun ini ada kadar baharu diperkenal iaitu RM6.50 untuk umat Islam yang menjadikan beras jenis 'super special tempatan' (10 peratus hancur) atau setarafnya sebagai makanan harian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food LZNK di sini, hari ini.

Turut hadir, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Norizan berkata, kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super special tempatan (lima peratus hancur) atau setaraf dan RM14 adalah bagi beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah berkata, kadar RM21 pula adalah bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah atau setarafnya.

"Kita mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah berjumlah RM12. 4 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM11.7 juta.

"Bagi memudahkan orang ramai, kita sediakan 27 kaedah bayaran termasuk secara dalam talian bagi membayar zakat fitrah seperti menerusi portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu Portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch, MyAmil dan Kiosk layan diri LZNK," katanya.

Selain itu, katanya LZNK juga menggalakkan orang ramai bersedekah di seluruh kaunter LZNK melalui amil yang dilantik dengan nilai kupon yang disediakan ialah RM5 dan RM50.

"Sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, LZNK juga melancarkan program sumbangan ayam segar yang dinama sebagai Program Infak Aidilfitri kepada semua 3,333 keluarga asnaf di Kedah.

"LZNK mensasarkan sumbangan sebanyak dua ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf dengan jumlah kos sumbangan mencecah RM99,900.Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui Portal Asnaf Care," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:18 PM