MOHAMMAD Fahmi ditemui media selepas Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Mais, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Anggota Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. FOTO Faiz Anuar
MOHAMMAD Fahmi ditemui media selepas Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Mais, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Anggota Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kedudukan pusat atau madrasah tahfiz persendirian yang dibina di atas tanah yang tidak sepatutnya seperti tanah pertanian akan diputuskan tidak lama lagi.

Itu antara perkara yang sedang diteliti dalam program pemutihan pusat atau madrasah tahfiz persendirian di Selangor menerusi Pelan Pemutihan Garis Panduan 2.0.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, program pemutihan ini dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari segi perlesenan dan juga kebenaran merancang (KM) dari Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini.

"Semua akan diperincikan dalam Pelan Pemutihan Garis Panduan 2.0 nanti sama ada dipindahkan atau diberikan sedikit kelonggaran, contohnya diberikan KM sementara.

"Semua ini sedang diteliti dan akan diperincikan dalam garis panduan itu tidak lama lagi, selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan depan.

"Saya rasa tidak akan dapat memutihkan kesemuanya (pusat tahfiz), mungkin mengambil masa terutamanya membabitkan kerja-kerja tanah itu lama sikit," katanya selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Istiadat yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan itu disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini, tadi.

Mengulas lanjut mengenai Pelan Pemutihan Garis Panduan 2.0 itu katanya, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) bagi membincangkan mengenainya.

"Sekarang ini kita sedang kemaskini Pelan Pemutihan Garis Panduan 2.0..saya dimaklumkan bahawa Pelan Pemutihan Garis Panduan 1.0 dahulu berjaya memulihkan 35 peratus sahaja.

"Saya sudah maklumkan kepada pihak JAIS... kalau pelan kedua dibuat, kita hendak melihat kadar pemutihan yang lebih tinggi, paling kurang 70 ke 80 peratus.

"(Pusat tahfiz) yang perlu diputihkan dalam 500 lebih sahaja..35 peratus berjaya diputihkan garis panduan pertama. Baki itu nanti yang perlu diselesaikan menerusi garis panduan kedua ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 2:54 PM