MOHAMAD Yusli (dua, kanan) menerangkan sesuatu kepada pengusaha maahad tahfiz persendirian pada Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MOHAMAD Yusli (dua, kanan) menerangkan sesuatu kepada pengusaha maahad tahfiz persendirian pada Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mendapati sebanyak 47 maahad tahfiz persendirian di daerah ini tidak mempunyai kelulusan pelan pemajuan daripada pihaknya.

Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, hanya dua maahad tahfiz persendirian sahaja memiliki pelan pemajuan bagi mendapat kelulusan beroperasi yang terletak di Jeram dan Puncak Alam.

Sehubungan itu, katanya, MPKS berharap pihak pengurusan maahad tahfiz yang belum mempunyai pelan pemajuan menghantar permohonan untuk disenaraikan dalam inventori pihaknya.

"Kita minta kerjasama pengusaha tahfiz mengemukakan permohonan pelan pemajuan melalui perunding yang dilantik kepada MPKS untuk pertimbangan kelulusan.

"Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat perunding perancang bandar bertauliah daripada Malaysian Institut of Planner (MIP) dan urusan teknikal lain yang berkaitan," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru, dekat sini.

Mohamad Yusli berkata, kelulusan pelan pemajuan penting untuk mengelakkan insiden seperti tragedi kebakaran di sebuah maahad tahfiz hingga meragut 23 nyawa dan mencederakan lima lagi.

"Tragedi berlaku disebabkan faktor keselamatan dan ciri bangunan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Mengulas mengenai program, beliau berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pengusaha maahad tahfiz melalui taklimat yang diberikan serta mengikut garis panduan ditetapkan.

"Program ini dapat membantu Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) memastikan semua sekolah agama sedia ada yang berdaftar mempunyai kelulusan PBT.

"Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perancangan Antara Pihak Berkuasa Perancang Tempatan Negeri Selangor pada 17 Jun 2019 mengambil inisiatif bersama Jais dan MIP membuat keputusan menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri Selangor 2020.

"Tujuan garis panduan disediakan untuk membantu kerajaan negeri dan PBT menyelesaikan isu sekolah agama berdaftar di Selangor supaya mendapat kelulusan daripada PBT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 12:43 PM