MOHD Na’im. FOTO arkib NSTP
MOHD Na’im. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Dakwaan sekolah agama di Selangor diarah tutup disifatkan tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan memberi amaran kepada sekolah agama persendirian dan diarah keluar dari premis masing-masing adalah tidak benar serta berniat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya, kerajaan mengeluarkan garis panduan ekoran kejadian kebakaran sehingga membabitkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017.

Katanya, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor dibangun dan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar dan warga institusi tahfiz persendirian.

"Inisiatif itu diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di Selangor," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Naim berkata, pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan itu mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.

Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dimaklumkan sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Kerajaan Negeri menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang dikeluarkan.

Katanya, kelonggaran diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun dan dalam tempoh itu, JAIS mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang mendapatkan ulasan daripada agensi yang berkaitan.

"Semua pihak digesa supaya merujuk kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 2:27 PM