NAJMUDDIN Jemain. FOTO Azhar Ramli
NAJMUDDIN Jemain. FOTO Azhar Ramli
Redzuan Muharam


Kajang: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memohon kerjasama pengurusan pusat tahfiz persendirian di daerah itu untuk menghantar permohonan untuk disenaraikan dalam inventori pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sekali gus mendapat kelulusan beroperasi.

Yang Dipertuanya, Najmuddin Jemain berkata, permohonan itu perlu dilengkapi pelan bangunan untuk dinilai oleh Jabatan Teknikal MPKj.

Menurutnya, pihaknya mengharap kerjasama sepenuhnya bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini seperti tragedi kebakaran di sebuah pusat tahfiz yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid.

"Tragedi itu berlaku disebabkan faktor keselamatan dan ciri bangunan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Perkara ini berpunca daripada ketiadaan kebenaran merancang dan pelan bangunan diperakui oleh PBT termasuk jabatan teknikal dalam menilai kondisi struktur bangunan serta keselamatannya (bangunan).

"Justeru, kerajaan negeri melalui Pelan Malaysia@Selangor dengan kerjasama PBT, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) menyediakan Garis Panduan Pemutihan Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu sekolah agama berdaftar di Selangor yang dibina tanpa kelulusan daripada PBT," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di dalam kawasan pentadbiran MPKJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Yuszaimi Muslil dan 90 pengusaha pusat tahfiz serta sekolah agama persendirian di kawasan MPKj.

Najmuddin berkata, garis panduan itu sudah diluluskan pemakaiannya di Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil 4/2020 pada 21 Disember 2020 dan Mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 31 Mac lalu yang disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 13/2021 pada 6 April lalu.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak 106 pusat tahfiz terdapat di kawasan MPKj dengan 86 masih beroperasi, manakala 20 lagi sudah ditutup.

Katanya, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan, sebaliknya ia kemungkinan disebabkan masalah kewangan kerana pusat tahfiz terbabit beroperasi dengan dana sendiri.

"Buat masa ini, kita belum boleh mengesahkan sama ada pusat tahfiz yang masih beroperasi mematuhi syarat, piawaian dan garis panduan ditetapkan atau sebaliknya.

"Kita akan buka peluang untuk pusat tahfiz menghantar permohonan dan kami akan mengadakan lawatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Jika ada aduan berlaku perlanggaran misalnya tiada laluan kecemasan, Bahagian Teknikal JBPM yang akan mengesahkannya manakala MPKj selaku PBT boleh mengambil tindakan mengeluarkan arahan untuk pusat tahfiz terbabit menghentikan operasi," katanya.

Dalam pada itu, Yuszaimi berkata, semua sekolah agama dan pusat tahfiz di bawah JAIS perlu mendapat kebenaran mahupun perakuan yang tertakluk mengikut ketetapan PBT, JBPM dan pejabat daerah.

Katanya, ia berdasarkan Enakmen Pengawalan Sekolah Islam 1988 Pindaan 2001.

"Sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tiada aduan diterima membabitkan pusat tahfiz melainkan berkaitan masalah fizikal seperti kerosakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 5:33 PM