GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Seorang wanita bersama tiga anak asuhan berdepan detik cemas selepas rumah diceroboh oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu di Bandar Behrang, jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, semasa kejadian mangsa yang berumur 59 tahun tinggal bersama tiga orang anak asuhan yang berumur enam sehingga 10 tahun.

Katanya, mangsa menyedari kehadiran dua suspek semasa hendak ke dapur selepas terdengar bunyi pintu pagar rumah dibuka.

"Ketika berada dalam bilik, mangsa didatangi dua lelaki bertopeng hitam terus mengeledah rumah mencari wang dan barang kemas.

"Mangsa kemudian disuruh masuk ke dalam bilik kedua yang diduduki anak asuhan yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

" Mangsa mengejutkan anak asuhan terbabit dan memaklumkan rumah mereka dimasuki perompak," katanya dalam kenyataan.

Mohd Hasni berkata, mangsa bersama tiga anak asuhan dijaga oleh salah seorang suspek manakala seorang lagi suspek terus mengeledah bilik mangsa.

"Suspek mengambil beg mangsa yang mengandungi wang tunai anggaran RM 5,000 dan kemudian turut melarikan barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM 50,000 serta telefon.

"Suspek juga turut melarikan kereta mangsa sebelum dijumpai semula kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian dekat Taman Wangsa, Behrang," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan tiga anak asuhan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pihak polis sedang giat memburu suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 11:14 PM