Hazsyah Abdul Rahman


PEKERJA ladang ditahan selepas menyerah diri kerana merogol pelajar perempuan di Ladang Genting Teneggang, dekat Jerocco, Kinabatangan, Sabtu lalu.

Suspek yang berumur belasan tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, kira-kira 10 pagi semalam selepas mangsa membuat laporan polis kelmarin.

Difahamkan, kejadian rogol yang berlaku kira-kira 9 malam Sabtu lalu adalah yang kedua selepas kali pertama pada 5 Mei lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian pertama, mangsa yang berumur 13 tahun itu dikatakan dihampiri suspek ketika mengalihkan motosikal di rumah bapa saudaranya iaitu tempat mangsa tinggal.

"Dalam kejadian pertama pada 5 Mei lalu, kira-kira 9 malam, mangsa ketika itu mahu membawa masuk motosikal ke dalam rumah, lalu suspek tiba-tiba datang.

"Keluarga mangsa sudah tidur ketika itu dan mereka masuk ke bilik mangsa lalu suspek merogolnya walaupun mangsa cuba melawan. Suspek turut berjanji akan berkahwin dengan remaja itu sebaik selesaikan melakukan perbuatan jijik berkenaan.

"Seminggu kemudian, pada 9 malam, suspek datang ke rumah mangsa dan membawa mangsa ke kawasan ladang di belakang rumah ketika keluarga mangsa tidur, lalu merogolnya. Mangsa melawan, namun tidak berjaya. Sekali lagi suspek berjanji akan memperisterikannya nanti," katanya.

Katanya, perbuatan suspek terbongkar apabila keluarga mangsa menemui mereka di kawasan ladang itu.

"Suspek melarikan diri dan pada keesokannya keluarga mangsa menemui keluarga suspek, namun mereka enggan bertanggungjawab," katanya.

Kelmarin, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Suspek sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan seterusnya ditangkap pada 10 pagi semalam.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:37 AM