LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO Arkib NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan aliran penumpang di kedua-dua terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 meningkat hampir 16 peratus ketika tempoh puncak mulai sekarang sehingga 13 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, jangkaan itu bersempena cuti perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh serentak dengan cuti persekolahan, akan turut menyaksikan MAHB mengendalikan kira-kira 196,000 penumpang sehari.

“Bagi menangani lonjakan itu, MAHB menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang di lapangan terbang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Azmi berkata, antara langkah dipertingkatkan MAHB adalah mengendalikan peningkatan aliran lalu lintas di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di luar lapangan terbang itu.

“Kami akan meneruskan pelaksanaan had masa dua minit bagi mengelak kesesakan dan pada masa sama turut mengingatkan penumpang agar tidak meletak kenderaan di laluan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Selain itu, kami turut menambah bilangan petugas bagi memastikan kawasan itu diawasi sepanjang masa serta aliran lalu lintas yang lebih lancar,” katanya.

Raja Azmi turut menggesa penumpang untuk memanfaatkan kemudahan serahan beg dan daftar masuk sendiri di kedua-dua terminal yang memendekkan giliran serta tempoh menunggu dan memakan masa hanya seminit menerusi inisiatif digital itu.

“Malah, langkah JIM menambah kemudahan pintu automatik baru-baru ini juga dijangka dapat mengurangkan tempoh giliran penumpang,” katanya.

Sebanyak 10 pintu automatik baharu yang dilengkapi teknologi biometrik terkini dipasang bagi menggantikan enam unit lama di ruang berlepas antarabangsa bulan lalu.

Beliau juga mengingatkan penumpang agar tiba sekurang-kurangnya tiga jam lebih awal sebelum waktu berlepas masing-masing

“Gunakan kemudahan pengangkutan awam untuk ke lapangan terbang. Malah, perjalanan menggunakan KLIA Ekspres hanya mengambil masa kurang 30 minit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:46 PM