WONG (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
WONG (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Dua kontena mengandungi arak seludup dianggarkan bernilai RM1.17 juta termasuk cukai dirampas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 dan 31 Mei lalu.

Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui pelbagai minuman keras dianggarkan berjumlah 38,776 liter dalam dua kontena terbabit, masing-masing bersaiz 40 kaki (12.1 meter) itu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, rampasan pertama membabitkan 26,160 liter arak dianggarkan bernilai RM111,120 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM793,030.

"Maklumat di dalam Bill of Lading dan Borang Kastam 1, dagangan itu diikrarkan sebagai barangan rumah dari negara jiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Minuman keras diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan kotak polyfoam bagi mengaburi pihak kastam. Ini modus operandi ini sering digunakan terhadap," katanya.

Berikutan rampasan itu, katanya, seorang wakil perkapalan dipanggil dan hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan lanjut dan siasatan kes masih dijalankan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimportnya.

Menurutnya, rampasan kontena kedua pada 31 Mei lalu pula membabitkan 12,616.20 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM93,940.00 dengan jumlah cukai dan duti RM172,505.00.

Wong berkata, berdasarkan maklumat di dalam Bill of Lading dan Borang Kastam 1, dagangan itu diikrarkan sebagai aksesori memancing (umpan tiruan) dari negara jiran.

"Berdasarkan sumber risikan pasukan, modus operandi yang digunakan adalah cuba berselindung di sebalik pengikraran barangan sukan atau hobi dan akan membayar cukai berdasarkan kod tarif terbabit.

"Selain itu, pengimport dagangan ini akan sentiasa bertukar ejen penghantaran agar aktiviti pengimportan minuman keras sukar dikesan pihak berkuasa," katanya.

Wong berkata, siasatan bagi kedua-dua kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, katanya, JKDM memerlukan bantuan awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.

Aduan boleh dibuat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dengan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 11:30 AM