Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dalam talian antarabangsa lumpuh selepas 49 individu ditahan di sebuah premis disyaki dijadikan pusat panggilan dalam serbuan di sekitar Bukit Bintang, di sini, pada 6 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menawarkan skim pelaburan tukaran mata wang asing Forex.

Menurutnya, seramai 47 warga asing dan dua warga tempatan ditahan disyaki ahli sindiket disyaki menyasarkan mangsa dari Eropah antaranya rakyat Perancis, Ukraine, United Kingdom dan Switzerland.

"Kumpulan ini akan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui Telegram dan laman web Riacapital yang mengandungi pautan iklan pelaburan dalam talian.

"Mereka menggunakan aplikasi Zopier dan Link CRM buat mangsa yang berminat dengan tawaran pelaburan akan diajar untuk melabur dalam skim berkenaan," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee
RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee

Menurutnya, tangkapan terdiri daripada dua warga tempatan dan 47 warga asing iaitu 31 lelaki dan 18 wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun.

Katanya, warga asing ditahan membabitkan 11 rakyat Guinea; Algeria (lapan), Togo (empat), Ukraine (empat) dan masing tiga dari Maghribi dan Mauritius.

Turut ditahan, masing-masing dua warga Cameroon, Congo dan Tunisia manakala seorang dari Armenia, Senegal, Haiti, Djibouti, Madagascar dan Chad.

"Kita percaya dua warga Malaysia itu berperanan sebagai fasilitator yang membantu menggerakkan sindiket berkenaan manakala warga asing yang ditahan, ada yang pas lawatan tamat tempoh selain menyalahgunakan pas pelajar.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas 47 set komputer, 49 telefon bimbit, enam laptop dan dua televisyen," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan 511 KK.

"Setakat ini dua tangkapan warga Malaysia dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat pada 10 Februari lalu.

"Seorang wanita warga asing turut dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengandung pada 8 Februari lalu manakala suspek lain direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 masing-masing sehingga 23 dan 24 Februari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:09 PM