Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Polis berjaya mencekup sembilan suspek disyaki menipu seorang warga emas yang 'berputih mata' melihat akaun bank yang mencecah jutaan ringgit hanya berbaki RM78 akibat ditipu 'pegawai insurans' dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada November 2022, wanita tempatan berusia 71 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak 'insurans' mendakwa terdapat tuntutan palsu dibuat di atas namanya.

"Mangsa yang juga pesara sektor perbankan diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan kesemua wang ke akaun berkenaan.

"Mangsa diarahkan menyerahkan maklumat akaun bank dan perbankan dalam talian akaun baharu kepada pihak sindiket dan mangsa tidak dibenarkan mengakses akaun itu selama beberapa bulan," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee
RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee

Menurutnya, mangsa terkejut apabila mendapati wang miliknya berjumlah RM3.83 juta dipindah keluar dari akaun baharu itu selepas membuat pemeriksaan pada September lalu.

Ramli berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menjalankan operasi berasingan sekitar Lembah Klang dan menahan enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 28 hingga 42 tahun.

Katanya, polis merampas 11 unit telefon bimbit, kad pengeluaran wang automatik (ATM), pasport (satu), beg silang (satu), dan wang tunai RM377.

"Melalui penahanan ahli sindiket ini, JSJK percaya 61 kes dengan nilai kerugian keseluruhan RM28.92 juta berjaya diselesaikan.

"Saya bagi amaran bahawa kegiatan mereka boleh dijejak, makan masa sedikit tetapi boleh dijejak. Macam kes ini contohnya tahun 2022 tapi sudah ramai yang dicekup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:50 PM