Siti Rohana Idris


Tumpat: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 57 notis kompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pengendali makanan yang melakukan kesalahan sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, semua notis yang dikeluarkan itu membabitkan nilai RM6,400 dengan kesalahan utama tidak menghadiri latihan pengendali makanan serta berpakaian tidak sesuai.

"Daripada 57 notis itu, dua dikenakan kepada pengendali makanan yang tidak menerima suntikan antitifoid.

"Kita memandang serius terhadap semua jenis kesalahan yang dilakukan memandangkan kebersihan makanan adalah satu agenda kita," katanya selepas melancarkan Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan 2022 peringkat Negeri Kelantan di perkarangan Pasar Besar Wakaf Bharu, hari ini.

Beliau diiringi Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah meninjau tapak Bazar Ramadan Pasar Wakaf Bharu sambil mengagihkan Kit Keselamatan Makanan kepada pengusaha gerai.

Dr Zaini berkata, sebanyak 30 sampel makanan sedia dimakan sudah diambil bagi analisa mikrobiologi dan 35 lagi untuk analisa kimia.

Menurutnya, satu daripada sampel itu dikesan mengandungi 'Staphylococcus aureus' dalam gulai telur itik.

"Pada 2019, lapan sampel tidak mematuhi dan dikesan mengandungi Salmonella spp dalam makanan berasaskan ayam serta cendol dan dua kes pendakwaan sudah dijalankan dengan nilai denda sebanyak RM3,500.

DR Zaini pada sidang media selepas merasmikan Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan 2022 di Bazar Ramadan Wakaf Bahru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Zaini pada sidang media selepas merasmikan Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan 2022 di Bazar Ramadan Wakaf Bahru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Persampelan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan pada minggu berikutnya dan sepanjang Ramadan ini juga, sebanyak 16 kilang ais turut diperiksa," katanya

Dr Zaini berkata, pada tahun ini sebanyak 65 bazar Ramadan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan dengan 3,780 petak gerai.

"Sehubungan itu, kami menubuhkan 54 pasukan pemantau yang terdiri daripada 194 kakitangan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan.

"Pemeriksaan ini juga membabitkan penjaja sementara di seluruh daerah bagi memastikan makanan yang dijual selamat dimakan dan tidak menjadi punca kepada penyakit bawaan air serta makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:12 PM