FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Golongan berisiko seperti warga emas, individu berpenyakit kronik, wanita hamil dan menyusu boleh membuat pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dengan secepat mungkin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pendaftaran boleh dibuat dan mereka akan diberikan tarikh untuk dapatkan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan.

Katanya, pendaftaran perlu dibuat untuk mengelakkan kesesakan di PPV dan memastikan jumlah vaksin mencukupi.

"Kita membuka peluang kepada wanita hamil, ibu menyusu, individu yang berusia 40 tahun ke atas, mereka yang ada komorbiditi seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang dan lain-lain untuk mendapatkan vaksin awal.

"Mereka ini boleh mendaftar di talian hotline 09-7743099 atau 09-7742099 dan imbas kod JKNK sebelum diberi tarikh segera untuk divaksinasi di PPV berdekatan mereka.

"Untuk pengambilan vaksin ini, kita buka di semua PPV seluruh daerah di Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, peluang ini dibuka kepada golongan ini kerana mereka berisiko sekiranya dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, sehingga semalam, jumlah pemberian vaksin di Kelantan adalah sebanyak 659,402 bagi dos pertama atau 34.6 peratus dan 425,868 bagi dos kedua atau 22.3 peratus daripada keseluruhan populasi.

"JKNK akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua penduduk yang layak, mendapat vaksin bagi mencapai imuniti kelompok seperti yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:12 PM