Peserta PFCKL menunjukkan laporan polis. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Peserta PFCKL menunjukkan laporan polis. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Lebih 50 peserta Program Ferti-Chilipreneur Komuniti Lestari (FCPKL) di sini, tampil membuat laporan polis berhubung pelbagai isu termasuk tunggakan elaun yang gagal dibayar sejak tiga bulan lalu.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini selepas kumpulan peserta terbabit terhadap sebuah syarikat dilantik sebagai pelaksana projek berkenaan.

Jurucakap yang mewakili kumpulan peserta itu, Abd Fitir Tahir, 44, berkata, selepas tujuh bulan menyertai program itu, syarikat terbabit bukan sahaja gagal menyiapkan ladang malah kemudahan infrastruktur seperti kabin peserta juga tidak mematuhi aspek keselamatan.

Menurutnya, selain isu tunggakan elaun, seramai 39 peserta juga diberhentikan atau ditamatkan secara serta-merta tanpa sebarang pertimbangan atau alasan yang munasabah.

"Kegagalan syarikat melunaskan tunggakan elaun peserta berjumlah RM1,200 sebulan memberi tekanan teruk apabila hampir 60 peratus peserta tidak dapat hadir atau memberi komitmen kepada program ini berikutan kekangan kewangan memandangkan ada peserta yang datang dari luar daerah seperti Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kalabakan.

"Sehingga hari ini, pihak syarikat itu hanya mampu menyiapkan ladang seluas 1.6 hektar, jauh daripada sasaran program iaitu 24.2 hektar walaupun menerima dana berjumlah RM4.6 juta," katanya ketika ditemui di sini, selepas membuat laporan polis.

Seorang lagi peserta, Nofian Sali, 49, yang juga pesara guru mendakwa tujuan laporan polis dibuat bagi menuntut hak peserta yang disifatkannya sebagai teraniaya akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak pelaksana projek berkenaan.

"Kami berharap agensi berkaitan terutamanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dapat menyelesaikan isu ini kerana kami mahu program (PFCKL) berjaya dicapai dan direalisasikan," katanya.

Bagi Norfarahin Aminuddin, 23, graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Sarawak berkata, dia memohon menyertai program itu dengan harapan dapat menjana pendapatan selain menambah ilmu dalam bidang pertanian selepas memperoleh Diploma Perladangan Makanan.

"Malangnya, sepanjang mengikuti program ini, tiada tenaga pengajar disediakan atau proses pembelajaran malah apa yang dijanjikan juga gagal tunaikan," katanya.

Program PFCKL berkonsepkan pertanian pintar dalam tanaman fertigasi cili dan dilaksanakan di tanah seluas kira-kira 40.4 hektar milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Tawau di Balung membabitkan 120 peserta pelbagai peringkat usia temasuk dari golongan B40, pesara, dan siswazah menganggur.

Projek cili itu dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada 6 September 2022 dan dijangka boleh mencapai pengeluaran sebanyak 672 tan setahun dan hasil jualan sekitar RM3.2 juta dalam tempoh dua hingga tiga tuaian setahun selain menjamin pendapatan purata minimum sebanyak RM2,300 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 2:44 PM