Musa (kiri) menyampaikan taklimat pada program Inkubasi Keusahawanan Bagi Zon Timur. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Musa (kiri) menyampaikan taklimat pada program Inkubasi Keusahawanan Bagi Zon Timur. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli


SERAMAI 900 orang terdiri daripada siswazah menganggur, pesara kerajaan dan bekas banduan akan dipilih menyertai Program Inkubasi Usahawan Pertanian sekali gus berpeluang memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Program anjuran Ladang Sawitria Sdn Bhd (KEL) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu bertujuan membantu golongan terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.

Pengerusi KEL Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti graduan, penganggur dan pesara kerajaan yang berminat untuk menceburi bidang pertanian secara serius.

“Tanah seluas 364 hektar di Mukim Maembong, Batu Mengkebang, Kuala Krai sudah tersedia untuk dimanfaatkan melalui program ini.

“Kami sudah usahakan sebanyak 150 hektar untuk tanaman cili dan sudah menjual hasilnya sebanyak 15 tan cili yang dipasarkan di semua pasar borong di Kuala Lumpur sebagai proses percubaan," katanya ketika ditemui pada Taklimat Program Inkubasi Usahawan Pertanian di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, wakil Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Mohd Hishammfariz Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Musa berkata, KEL sudah melaburkan sebanyak RM25 juta untuk pelbagai proses termasuk pembersihan kawasan tanah dan penyediaan kemudahan di tapak projek itu.

“Semua kemudahan termasuk tempat tinggal dan makanan akan ditanggung sepanjang peserta menjalani latihan selama tiga bulan berserta dengan elaun RM300 setiap bulan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan mengenai program itu seterusnya mendapatkan peserta yang menepati kriteria ditetapkan.

“Program ini ialah rancangan jangka panjang yang menjamin pendapatan minimum setiap peserta sebanyak RM5,000 sebulan.

“Mereka akan usahakan pertanian menggunakan teknologi moden dari Taiwan. Justeru, hanya peserta yang berminat dan serius akan terpilih," katanya.

Menurutnya, program berkenaan dijadualkan bermula pada Disember ini dan ia akan turut dikawal selia Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan program yang dilaksanakan mengikut garis panduan dan berjalan seperti yang dirancangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 3:57 PM