Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Pegawai dan anggota polis yang menerima sampul wang atau 'angpau' ketika dalam penugasan menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan menerima sebarang bentuk wang atau imbuhan semasa sedang bekerja adalah salah kerana ia boleh dipersoalkan serta dikaitkan dengan elemen rasuah.

Menurutnya, seperti yang berlaku mengenai penemuan sejumlah wang dalam 'angpau' di Balai Polis Setapak, dalam pengawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, adalah satu bentuk kesalahan yang serius.

"Saya puji tindakan pihak Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang menjalankan pemeriksaan terhadap anggota balai polis dalam daerah Wangsa Maju itu.

"Ini jelas menunjukkan saranan saya yang dibuat pada 1 Februari lalu, sudah mula membuka mata semua pegawai dan anggota yang berada pada peringkat penyelia," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Op Selamat 21 dan perasmian VSP 2.0 di Persada Plus di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pihak JIPS juga sebagai penyelia sudah mula buka mata dan mengambil tindakan berfungsikan saranan terhadap semua penyelia.

"Pada majlis itu saya beri saranan kepada semua Ketua Polis Negeri, Komandan, Ketua Polis Daerah (KPD) yang mana mereka juga adalah penyelia. Saya juga adalah penyelia kepada mereka.

"Jadi dalam kes ini (Balai Setapak) penyelia yang bertugas di balai polis berkenaan tidak menjalankan tugas seperti yang disarankan.

"Penyelia yang baik akan buat pemeriksaan dan bukannya ada penemuan 'angpau'," katanya.

Beliau berkata, seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) penugasan, setiap penyelia perlu memeriksa buku poket anggotanya serta jumlah wang saku tidak boleh melebihi RM100.

"Saya nak beri satu contoh, sekiranya anggota terbabit mengisytiharkan jumlah wang sakunya berjumlah RM100 semasa keluar bertugas, namun apabila dia kembali ke balai polis dan didapati mempunyai RM400 tetapi dia mengeluarkan wang pada hari gajinya dari bank semasa dalam perjalanan kembali ke balai, ia tidak mempunyai kesalahan selagi dia mampu menunjukkan bukti resit pengeluaran.

"Kalau ada anggota polis yang sedang bercuti dan meraikan Tahun Baharu Cina di rumah rakannya dan dia diberi 'angpau', maka itu adalah dalam situasi lain dan dia tidak bekerja," katanya.

Semalam, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mengesahkan sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis yang dikesan menyimpan beberapa sampul 'angpau' mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya dalam pemeriksaan di Balai Polis Setapak, 5 Februari lalu.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dilaporkan berkata, satu kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota terbabit.

Azri berkata, siasatan selepas ini menjurus untuk memastikan bagaimana wang sebanyak itu boleh berada di dalam simpanan anggota polis terbabit kerana jelas melanggar peraturan tugas.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:20 PM