Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 5,073 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan hukuman tatatertib termasuk dibuang kerja sejak 2020 sehingga Mei lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu, mereka yang dikenakan tindakan buang kerja adalah seramai 440 orang.

Mengikut pecahan, katanya, pada 2020 seramai 135 pegawai dan anggota dibuang kerja manakala 117 (2021); 154 (2022); dan 34 (Januari sehingga Mei 2023).

"Seramai 2,970 warga PDRM yang dikenakan tindakan amaran sejak 2020 sehingga Mei lalu manakala tindakan denda (940 orang) dan lucut hak emolumen (479 orang).

"Selain itu, bagi tempoh sama juga seramai 129 warga PDRM dikenakan tindakan tangguh pergerakan gaji, turun gaji (46 orang) dan turun pangkat (71 orang)," katanya dalam Sesi Perjumpaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain Bersama Ketua Editor di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Pengurusan, Datuk Azmi Abu Kassim.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data itu menunjukkan bahawa PDRM tidak berkompromi terhadap warganya yang melakukan kesalahan.

"JIPS akan mengambil tindakan selari dengan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap warga PDRM itu.

"Apabila berlaku kesalahan seperti rasuah, pastinya siasatan akan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sementara JIPS pula menjalankan siasatan menjurus kepada di mana kesalahan itu berlaku dan sama ada semasa penugasan atau di luar penugasan," katanya.

Katanya, siasatan secara teliti akan dijalankan sebelum tindakan tatatertib diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 7:15 PM
RAZARUDIN (dua, kanan), beramah mesra bersama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, ketika Sesi Perjumpaan Ketua Polis Negara Bersama Ketua Editor Agensi Media di Menara 1, Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
RAZARUDIN (dua, kanan), beramah mesra bersama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, ketika Sesi Perjumpaan Ketua Polis Negara Bersama Ketua Editor Agensi Media di Menara 1, Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.