GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Guru besar antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan pembekalan makan minum murid dan kontrak pembersihan sekolah bernilai lebih RM1.3 juta.

Kesemua individu berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan pada 11 pagi hari ini.

Menurut sumber, seorang guru besar bersama ketua pembantu tadbir dan dua pengurus syarikat itu ditahan atas dakwaan berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri itu membabitkan kontrak pembekalan bernilai RM 1.3 juta.

Katanya, kesemua suspek dikatakan berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula 2022 sehingga 2023 membabitkan tuntutan ke atas 100 orang murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

"SPRM Terengganu dalam operasi yang sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu membabitkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah yang sama.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok pagi bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi tangkapan susulan berkaitan siasatan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 3:47 PM