Hiasan SPRM
Hiasan SPRM
Zatul Iffah Zolkiply


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan empat individu termasuk seorang ketua bahagian di sebuah agensi kerajaan kerana disyaki membuat lapan tuntutan palsu bernilai RM68,000.

Selain ketua bahagian berusia 56 tahun, tiga lagi yang ditahan adalah pengurus syarikat berusia antara 42 hingga 73 tahun kerana membuat tuntutan palsu bagi kerja-kerja pembekalan.

Difahamkan, lapan tuntutan bernilai RM68,000 itu bagi kerja-kerja pembekalan yang tidak dilaksana, sedangkan pembayaran penuh sudah dibuat.

Semua suspek ditahan di Perak dan Terengganu antara 10 pagi hingga 2.40 petang hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan semua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:35 PM