Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dilaporkan berlaku, September tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya perlu menunggu arahan daripada AGC sebelum sebarang tindakan diambil terutamanya bagi mendakwa suspek di mahkamah.

"Kita tunggu arahan daripada AGC," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, semalam yang dilapor berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan buli pelajar di MCKK itu.

Menurutnya, hasil siasatan juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Ditanya mengenai sama ada kes berkenaan ditutup atau sebaliknya, Mohd Yusri berkata, penjelasan berkaitan perlu diperoleh melalui AGC berbanding pihak polis.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mohd Yusri dipetik berkata, pihaknya masih menunggu arahan AGC berhubung status suspek kes buli pelajar di MCKK sama ada diteruskan dengan proses pendakwaan atau tidak.

YUSRI Hassan Basri. FOTO Bernama
YUSRI Hassan Basri. FOTO Bernama

Kertas siasatan kes buli berkenaan sudah dirujuk semula kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar Tingkatan Empat dilaporkan mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 1:22 PM